Berikut adalah luahan kekecewaan bapa ku di ruangan utusan Malaysia. Aku kena simpan dalam blog aku sebagai kenangan. Mana tau utusan dah delete archive artikel ni.
Source:
Rintihan
hampa seorang guru
AHMAD IBRAHIM
Kuala Kedah, Kedah
Kuala Kedah, Kedah
Umum tahu 16 Mei setiap tahun adalah
Hari Guru. Saya sendiri sudah 12 tahun bersara sebagai guru.
Saya teringat sambutan Hari Guru
tahun 1977. Sambutan peringkat kebangsaan diadakan di Dewan Tunku Canselor,
Universiti Malaya. Tiga atau empat hari sebelum tarikh tersebut, saya menerima
sepucuk telegram daripada Jawatankuasa Sayembara Mengarang Novel Hari Guru
1976, menjemput saya ke majlis penyampaian hadiah di Dewan Tunku Canselor
kerana karya saya berjaya memenangi salah satu hadiah tersebut.
Walaupun saya hanya mendapat hadiah
sagu hati, saya rasa amat gembira, berbaloi penat lelah saya selama lebih
kurang enam bulan menghasilkan karya saya berjudul Keretapi. Sesuai
dengan judul novel, saya membawa isteri dan anak yang ketika itu berusia lima
tahun menaiki kereta api dari Alor Setar ke Kuala Lumpur.
Apabila sampai ke Dewan Tunku
Canselor, saya dan lima pemenang lagi disambut oleh seorang petugas. Dibisikkan
kepada saya bahawa di kalangan pemenang sagu hati, novel Keretapi adalah
yang terbaik. Malah dibisikkan ia dicadang dijadikan buku teks sastera
tingkatan tiga.
Saya hanya tersenyum. Saya tidak
yakin novel saya akan terpilih. Novel saya hanya novel kanak-kanak. Kisah dalam
novel itu hanya kisah biasa sahaja. Lagipun saya seorang penulis yang langsung
tidak dikenali. Ketika itu saya hanya menulis dua buah buku, sebuah novel
kanak-kanak dan sebuah kumpulan cerpen kanak-kanak terbitan Saudara Sinaran
Berhad Pulau Pinang terbitan tahun 1967, sepuluh tahun terdahulu dari tarikh
Hari Guru 1977.
Pemenang-pemenang hadiah utama iaitu
Saudara Baharudin CD, Abd. Talib Hassan dan Ibrahim Omar adalah penulis-penulis
yang sudah terkenal pada masa itu. Novel Desa Pingitan karya Ibrahim
Omar telah pun dijadikan teks Sastera tingkatan lima. Tentu novel-novel mereka
lebih berpeluang menjadi buku teks sastera bagi kelas seperi tingkatan tiga.
Cukuplah novel saya menjadi buku bacaan di perpustakaan sekolah, saya terfikir.
Hari itu kami menerima hadiah
masing-masing daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang
ketika itu menjadi Menteri Pelajaran. Masa itu hadiah tidaklah besar, hadiah
utama RM3,000, RM2,000 dan RM1,000. Pemenang hadiah saguhati hanya menerima
RM500 sahaja. Saya rasa sangat gembira bukan kerana RM500 tetapi mengenangkan
tak berapa lama lagi saya akan melihat novel Keretapi di kedai-kedai
buku termasuklah melihat novel itu di perpustakaan di sekolah tempat saya
mengajar.
Tidak berapa lama kemudian, novel-novel
yang mendapat hadiah utama diterbitkan. Saya membeli ketiga-tiga buah novel
tersebut. Saya menunggu penerbitan novel saya pula. Tunggu punya tunggu tidak
juga diterbitkan. Saya menulis di akhbar Utusan Malaysia, bertanyakan
hal ini tetapi tidak mendapat reaksi dari mana-mana pihak. Saya amat kecewa.
Kemudian, saya menyertai Peraduan
Menulis Novel Kanak-Kanak anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Saya tidak
memenangi sebarang hadiah. Saya berasa sedikit terkejut apabila DBP menghubungi
saya mengatakan bahawa pihak DBP akan menerbitkan novel saya berjudul Cahaya
dengan sedikit pindaan.
Saya tersenyum memikirkan novel saya
yang kalah pun dapat diterbitkan. Pihak DBP mahu saya memberi persetujuan akan
pindaan yang mereka buat. Saya pun bersetuju. Judul novel saya Cahaya
telah ditukar kepada Inah. Saya merasakan tindakan DBP meminda manuskrip
saya kerana mahu menyesuaikan isi buku untuk kanak-kanak dengan pembaca di
kalangan kanak-kanak. Novel Inah telah dicetak dua kali. Terima kasih
tak terhingga kepada DBP.
Hari ini, setelah menunggu 34 tahun,
novel yang saya menangi ketika hadiah Sayembara Novel Hari Guru 1976 tidak juga
diterbitkan. Saya berasa kecewa dan letih. Saya tidak lagi mengharapkan
Keretapi diterbitkan kerana ceritanya mungkin tidak lagi memenuhi cita rasa
pembaca di era zaman milinieum ini. Kalau dapat diterbitkan juga, syukur
Alhamdulillah.
Di sini, saya meminta jasa baik
sesiapa yang menyimpan manuskrip novel Keretapi agar memulangkannya
kepada saya kerana saya tidak menyimpan salinannya. Tentu semua orang
tertanya-tanya mengapa sampai tiada salinannya. Ketika menulis novel tersebut,
saya cuma mencatat di kertas-kertas. Kemudian menaip dengan menggunakan mesin
taip berjenama Brother dan saya tidak menggunakan kertas karbon sebagai
penduanya kerana mengejar waktu.
Setelah selesai menaip tidak ada
waktu pula untuk saya membuat salinan karya saya itu. Manuskrip saya sampai ke
meja pengadil sehari sebelum tarikh tutup. Saya sebagai seorang guru selalu
memastikan kerja sekolah yang akan saya dahulukan. Ini yang membuatkan saya
kelam kabut. Lagipun saya selalu terfikir, kalau karya saya tidak dapat
diterbitkan, pihak berkenaan akan mengembalikan manuskrip saya.
Bolehkah manuskrip novel Keretapi
saya ditemui semula? Sejarah telah membuktikan dokumen-dokumen penting yang
hilang ribuan tahun lalu dapat ditemui semula.
Saya sangat mengharapkan dapat
membaca kembali karya Keretapi yang saya tulis 34 tahun lalu. Mungkin,
pada ketika anak-anak sudah berjauhan, kesunyian adalah teman sejati. Selain
mengisi waktu terluang di usia ini dengan beribadah, saya juga ingin sekali
membaca novel hasil karya sendiri. Kasihanilah saya.
No comments:
Post a Comment